Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, October 27, 2006

juadah hari raya

Tahun ini agak beruntung sedikit kerana ada beberapa hari cuti sebelum Raya menjelang. Paling tidak, sedikit sebanyak aku boleh membantu ibuku apa-apa yang patut. Maklum sajalah sebagai anak sulung... semuanya diserahkan pada aku. Yang seronoknya pada tahun ini, aku berpeluang membantu bapaku untuk membuat lemang... dari mula hinggalah lemang sebanyak 18 batang siap dibakar.


Lebih kurang macam ni cara membakar lemang...
Laksa utara... memang sedap!
Selain lemang, aku membantu ibuku memasak laksa bersama kuah kacang dan lontong bersama sambal ikan bilis. Hari raya ke-2, agak ramai saudara mara yang datang beraya hingga tak menang tangan untuk melayan mereka. Nasib baiklah banyak juga juada disediakan disamping kuih raya.... Seperti biasa, kanak-kanaklah yang paling gembira pada masa ini... berjumpa sesama rakan dan saudara sambil itu dapat juga duit raya... Akulah yang menjadi mangsa untuk menyediakan duit raya untuk mereka.... hehehe...


Lontong... bersama nasi himpit



Wednesday, October 18, 2006

anak buah baru

Muhammad Haziq nama diberi, telah selamat dilahirkan pada 23 September, pukul 8.17 pagi di HUKM iaitu sehari selepas harijadiku. Aku gembira sesangat.... *macamlah aku yang melahirkannya....* Semua ahli keluarga kedua-dua belah pihak menanti kelahirannya.... ahli baru ini merupakan cucu ke-3 kepada datuk dan nenek di sebelah ibu dan abahnya dan juga merupakan anak buah aku yang ke-2. Ayee antara yang teramat gembira bila mendapat 'adik' baru, hinggakan dia tidak mahu berjauhan lansung dengan 'adik'nya itu....

Ada satu ketika itu, Ayee bertanya kepada ibuku, "Opah, bila anak Ch** lahir nanti, boleh tak dia tinggal di sini dengan kita?"

Ibuku pun menjawab, "Mana boleh... mestilah dia tinggal dengan ibu dan abah dia."

"Alaa... kita nak baby tu tinggal dekat sini.... boleh la jadi kawan kita? Kita sunyi la opah...!"
jawab Ayee.

Aku jadi speechless bila ibuku menceritakan 'suara hati' anak aku itu... Aku sedar yang Ayee memang kesunyian. Walaupun dia dikelilingi oleh semua ahli keluarga ku tapi bagi kanak-kanak yang seumur dengannya, memang mereka memerlukan teman yang lebih kurang sebaya di rumah. Masa bersama rakan-rakan di sekolah tidak mencukupi. Tambahan pula, di persekitaran rumah aku itu tidak ada kanak-kanak yang sebaya dengan Ayee. Jadi, boleh dikatakan setiap waktu yang terluang Ayee perlu bermain sendirian.

Sayu hatiku bila mengenangkannya, tapi apa yang boleh aku lakukan? Adakah memadai dengan hanya pulang menjenguknya setiap hujung minggu? Hanya itu saja yang terdaya untuk aku lakukan buat masa ini.... Mama harap Ayee boleh memahami keadaan yang telah ditentukan olehNya untuk kita.... Apa pun jua, Mama akan cuba buat yang terbaik untuk Ayee... You mean so much to me!

Thursday, October 12, 2006

kad raya


Dulu semasa masa zaman kanak-kanak, akulah yang paling gembira apabila menerima kad ucapan Hari Raya. Aku pasti perasaan yang sama juga pasti dirasai oleh setiap orang yang menyambut apa jua perayaan. Tapi perasaan itu semakin berkurangan sealiran dengan peningkatan umurku. Atas dasar tanggungjawab dan tanda ingatanlah, tiap-tiap tahun aku pasti menghantar berpuluh-puluh kad raya kepada keluarga dan kenalan...

Sekarang ini, kita boleh menghantar ucapan dengan menggunakan kad ucapan yang bebentuk fizikal dan juga e-kad. Malah ucapan-ucapan tersebut boleh juga dihantar melalui e-mail dan juga bebentuk hamper.... semuanya terpulang kepada setiap individu. Tapi pernah juga berlaku, bulan raya sudah hampir habis, barulah aku menerima kad raya yang dikirimkan melalui pos dari seorang teman... kalau mengikut tarikh yang tertera di sampul, ianya dikirim dalam pertengahan bulan puasa. Maka, di manakah silapnya? Hehehe....