Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, April 21, 2006

Ingin Pergi Jauh...

Semua yang berlaku adalah kehendak Tuhan. Kita sebagai hambaNya hanya boleh berdoa dan berusaha agar perkara yang baik-baik saja Dia kurniakan untuk diri kita. Memang adakalanya apa yang kita terima itu tidak seperti yang diharapkan. Tetapi pernahkah kita bersyukur dengan pemberianNya itu?

Alhamdulillah.... setakat ini, walau apa pun jua takdir diberikannya padaku, aku pasrah menerimanya. Kalau sudah itu kehendakNya!

Dari hari ke hari aku hendak menulis di blog ini, tetapi ada saja yang berlaku sejak kebelakangan ini yang membuatkan aku terpaksa meletakkan niat aku itu sebagai perkara yang terakhir dalam senarai 'things to do' aku.

Sebenarnya, fikiran aku bercelaru sekarang ini. Macam-macam yang aku rasa - marah, benci, kecewa, sedih dan sebagainya. Secara tidak lansung mood aku untuk mencoretkan sesuatu di sini terbantut sama sekali.

Bagaimana aku boleh jadi begini....?

Sebelum ini, aku mengambil masa yang agak lama untuk menerima hakikat yang aku sebenarnya telah memegang status ibu tunggal. Pada permulaannya, aku agak malu untuk memberitahu kepada sesiapa pun akan status aku itu, walaupun kepada mereka yang rapat denganku.

Aku rasa, pelbagai usaha telah aku lakukan untuk menyelamatkan rumahtanggaku. Apa yang membuatkan aku rasa cukup terkilan di mana hanya aku dan keluargaku saja berusaha ke arah itu tetapi tidak di pihak yang lagi satu... mereka berdiam diri begitu saja dan hanya menyerah pada keadaan.

Walaupun pada mulanya apa yang aku lakukan itu hanya bertujuan untuk menggertak mereka kerana aku ingin tahu siapa aku dalam hidup mereka. Tetapi bila tiada siapa pun yang mengendahkannya serta memujukku terutamanya dari dia, maka aku nekad dengan niatku untuk terus mengundurkan diri dari permasalahan yang sedang kami hadapi selama ini. Perasaan kecewa yang teramat sangat telah mendorong aku untuk bertindak sejauh itu.... sungguh aku tidak percaya sama sekali yang aku boleh jadi begitu tegah untuk melakukannya.

Itulah... bila kita berada di dalam keadaan yang begitu terdesak, secara tidak lansung ianya akan memberi kita kekuatan untuk melakukan sesuatu yang tidak pernah terlintas di fikiran kita dan itulah yang sebenarnya terjadi padaku pada waktu itu.

Maka, bermulalah episod yang baru dalam hidup aku. Semua orang tahu, bukannya senang untuk menjalani hidup sebagai ibu tunggal, ada anak seorang pulak tu. Aku perlu kuat dan tabah untuk mengharunginya. Masa terus berlalu, aku sudah boleh menyesuaikan diriku dengan hidup baru walaupun ianya amat sukar bagiku. Dalam masa yang sama aku cuba untuk melupakan kisah pahit yang berlaku sebelum ini dan aku sudah tidak rasa malu lagi untuk menyatakan apa status aku kepada sesiapa pun. Aku rasa cukup bahagia dengan kehidupan aku sekarang di samping anak dan keluarga tersayang.

Rupa-rupanya ada juga insan-intan yang tidak senang melihat keadaan aku sehinggakan mereka sanggup berbuat apa saja agar mereka dapat merobek kebahagiaan yang aku rasa sekarang ini. Masih ada juga manusia yang sebegini. Apa salah aku? Aku tak punya apa-apa pertalian lagi dengan mereka dan aku tak ganggu pun hidup mereka. Namun begitu, apa yang telah mereka lakukan terhadapku kebelakangan ini, betul-betul mengganggu hidup aku. Aku rasa cukup tertekan dan ekoran daripada itu, aku telah jatuh sakit. Doktor mengatakan aku over stress dan perlu berehat. Oleh kerana aku tak mahu kerjaya aku terganggu, aku telah membuat keputusan untuk mengambil cuti panjang dan ingin pergi jauh dari mereka-mereka yang aku kenali. Malam ini aku akan bertolak ke destinasi yang akan aku tuju. Aku berharap, sekembalinya aku dari percutianku pada minggu hadapan, aku akan menjadi lebih kuat dan bersemangat untuk meneruskan perjalanan hidupku yang masih panjang lagi.... InsyaAllah!

Monday, April 10, 2006

Mengapa Aku Diuji Sebegini?

Agak lama aku berperang dengan hati sendiri. Pertanyaan demi pertanyaan aku persembahkan kepada Al-Amin... Tak kurang juga bermacam permohonan aku pohon dariNya. Aku rasa aku gagal... untuk bangun dan bersemangat untuk bernafas seperti biasa. Rasa rindu mengusai diri ini. Ya Allah... begitu payahnya aku untuk memadamkan rasa itu. Ia telah lama bertahta dalam jiwa ini... Nikmat hidup seolah telah padam dari diri ini. Tiba-tiba aku rasa kosong... sunyi dan sepi teramat sangat. Sesuatu yang tak pernah aku rasa sebelum ini.

Kini aku benar-benar diuji olehMu. Adakah aku mampu untuk meneruskan hidup ini tanpa cinta manusia terhadapku, tanpa cinta orang yang aku sayangi. Engkau benar-benar mahu menguji hambaMu ini. Namun begitu, aku sedar akan kelemahan diriku dan kerana itu aku memerlukan bantuanMu untuk meneruskan hidup ini. Terlalu banyak kejadian dalam hidupku yang tidak mampu kugagahi wahai Tuhanku. Lindungilah diriku.... lindungilah hatiku.... dan tetapkanlah keimananku padaMu ya Allah!... Aku tidak mahu menjadi ranting-ranting yang kering yang tidak boleh berbuat apa-apa melainkan hanya menanti masa untuk gugur ke tanah dan reput begitu saja. Sesungguhnya Engkau maha mengetahui....

Wednesday, April 5, 2006

Untuk Dikongsi Bersama...

Sesuatu yang menarik aku baca semalam, ianya boleh membantu menjawab persoalan yang selalu bermain di mindaku dan juga sesiapa pun. Sekali gus dapat menyejukkan hati kita. Sesungguhnya, Allah itu maha mengetahui dan kerana itulah setiap persoalan pasti ada jawapannya....

Soalan: KENAPA AKU DIUJI?
Jawapan: Surah Al-Ankabut; 2&3

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: 'Kami telah beriman', sedangkan mereka tidak diuji lagi? Dan Sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahu orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta."


Soalan: KENAPA AKU TIDAK MENDAPAT APA YANG AKU IDAM-IDAMKAN?
Jawapan: Surah Al-Baqarah; 216
"Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui."

Soalan: KENAPA UJIAN SEBERAT INI?
Jawapan: Surah Al-Baqarah; 286
"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): Ya Tuhan kami, jangan Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkau Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir."
Soalan: RASA FRUST?
Jawapan: Surah Al-Imran; 139
"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman."
Soalan: BAGAIMANA AKU HARUS MENGHADAPINYA?
Jawapan: Surah Al-Imran; 200
"Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiaga (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntung."
Jawapan: Surah Al-Baqarah; 45
"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan (mengerjakan) solat. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali orang-orang yang khusyuk."
Soalan: APA YANG AKU DAPAT DARI SEMUA INI?
Jawapan: Surah At-Taubah; 111
"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin,
diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka."
Soalan: KEPADA SIAPA AKU BERHARAP?
Jawapan: Surah At-Taubah; 129
"Cukuplah Allah bagiku, tiada Tuhan selain dari Dia. Hanya
kepadaNya aku bertawakkal dan Dia adalah Tuhan yang memiliki Arasy yang agung."
Soalan: AKU TAK DAPAT BERTAHAN LAGI.....
Jawapan: Surah Yusuf; 87
"Dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir."
Soalan: PENGHORMATAN
Jawapan: Surah An-Nisaa; 86
"Apabila kamu dihormati dengan sesuatu penghormatan, maka
balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik, atau balaslah dengan yang serupa. Sesungguhnya Allah memperhitungkan segala sesuatu."

Tuesday, April 4, 2006

Awan Berarak Mendung....

Setelah mendapat berita sedih pada Jumaat yang lalu, aku balik ke kampung pada malam harinya untuk menziarah keluarga arwah. Suasana sedih menyelubungi keluarga beliau. Di sana juga aku mendapat tahu akan sebab-sebab kematian arwah yang agak sukar untuk aku percaya. Ceritanya lebih kurang sama saja dengan berita yang tersiar di akhbar-akhbar tempatan pada 2 April yang lalu:
  • Begitulah lumrah alam... Adakalanya, kita terpaksa menanggung penderitaan di atas kelalaian/kesilapan orang lain. Perkara sedemikian juga pernah menimpa ke atas diriku sendiri sehinggakan aku hidup dalam kesusahan sampai ke hari ini. Adakah ini adil? Tapi bila aku fikirkan semula, semua itu berlaku mungkin disebabkan kesalahan/kesilapan lalu yang tidak pernah kita sedari.